Followers

Home » » Inilah Penulis Skrip Vanila Coklat

Inilah Penulis Skrip Vanila Coklat


Seperti yang diketahui umum, drama Vanila Coklat yang baru selesai 13 episod siarannya di TV3, telah mendapat sambutan yang cukup luar biasa.
Ia menjadikan drama tersebut mencatatkan rating yang tinggi dalam syarikat penyiaran berkenaan.
Namun siapakah insan yang menghasilkan skrip drama tersebut?
Mynewshub.my berjaya menjejaki beliau, yang kini bertugas di stesen radio terkenal, Suria FM.

Gadis manis bernama Shuhadatul Ain Zakaria, 28, ini juga pada masa yang sama sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master dalam jurusan Komunikasi Pengajian Media di UITM, Shah Alam.

Antara skrip yang pernah beliau hasilkan ialah drama Lu’Lu, Mertua vs Menantu, filem Syurga Cinta, Jangan Main belakang, Embun Mutiara dan banyak lagi.
Menurut Shuhadatul, minatnya dalam menulis skrip mula tercetus apabila bekerja Metrowealth International Group (MIG) sejurus selepas tamat pengajian dulu.

Mengenai naskhah terbarunya itu, beliau yang masih bujang mengaku, sangat terharu dengan sambutan peminat drama tempatan terhadap drama Vanila Coklat.


” Slot Vanila Coklat memasuki tayangan sejurus selepas drama Cinta Elysa tamat, kita semua tahu betapa hebat sambutan penonton terhadap drama Cinta Elysa itu, ini menyebabkan kami semua berdebar-debar…takut-takut ia mendapat reaksi yang sebaliknya.

” Alhamdulillah, semenjak hari pertama siarannya, drama Vanila Coklat mendapat sambutan memberangsangkan sehingga kesemua 13 episod itu ditayangkan,” katanya pada Mynewshub.my.

Mengenai idea menghasilkan skrip drama tersebut, Shuhadatul berkata, minatnya terhadap drama-drama Korea secara tidak langsung telah memberikan ilham untuk beliau menulis Vanila Coklat.

Ketika ditanya sama ada ia merupakan sebahagian daripada pengalaman hidup beliau sendiri, Shuhadatul menafikannya.

” Sebenarnya saya suka berimaginasi…dari situlah terhasilnya karya ini, tiada kaitan dengan sesiapa sebenarnya,” katanya yang mengakui dialog ‘bersahaja’ para pelakon Vanila Coklat sedikit sebanyak menyumbang kepada kekuatan drama berkenaan.

Mengenai jadual kehidupan sehariannya, beliau mengakui, hanya tidur dua atau tiga jam sehari kerana terikat dengan kerjaya dan pelajaran.

Namun kerana minat yang mendalam, Shudatul tidak merasa menyesal kerananya.

Bercakap mengenai projek terbaru akan datang, beliau tidak menolak andaian yang Vanila Coklat akan difilemkan.

Namun, katanya, ia terserah kepada penerbit untuk menentukan ‘masa depan’ karya tersebut.

Yang pasti, kata Shudatul, sekiranya ia diangkat ke layar perak, beliau akan memastikan jalan ceritanya lebih menarik dan mantap sesuai dengan citarasa penonton ketika ini.


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Infosahaja . All Rights Reserved.
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Template Design by Creating Website. Inspired from Metamorph RocketTheme