Followers

Home » » Arwah Mahu Berkahwin Sebelum Ajal

Arwah Mahu Berkahwin Sebelum Ajal


KOTA BHARU- Seorang pemuda sempat menyuarakan hasrat hati kepada ayahnya untuk berkahwin, dua hari sebelum ditemui mati dipercayai lemas selepas diserang sawan.

Mayat Mohd Zuri Rahman, 30, ditemui terapung oleh penduduk di tali air Kampung Tepus, Bachok kira-kira jam 6.15 petang kelmarin selepas kira-kira 20 jam dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Bapa mangsa, Rahman@Abdul Rahman Mangun, 65, berkata, sebelum kejadian anaknya keluar rumah selepas waktu Isyak dan tidak pulang sehinggalah mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari kediaman mereka.

“Dua hari sebelum kejadian Mohd Zuri ada memberitahu saya dia mahu berkahwin dan perkara ini tidak pernah diluahkan kepada kami sekeluarga.

“Saya tidak mengambil serius luahannya memandangkan kami semua sedar dia tidak berapa sihat dan sering diserang sawan sejak usia 18 tahun lagi selepas demam panas,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Rahman berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan seorang lagi anaknya, Nor Asiah, 35, yang ketika itu berada di rumah menunggu kepulangan Mohd Zuri.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian yang juga merupakan lokasi sering dikunjunginya setiap hari dan berdasarkan pakaian serta badannya, memang sah itu adalah mayat Mohd Zuri,” katanya.

Tambahnya, kemungkinan Mohd Zuri diserang sawan ketika berada di kawasan tersebut sehingga menyebabkan dia terjatuh ke dalam tali air berkenaan.

Katanya, biarpun Mohd Zuri mengidap sawan dan sering berkelakuan kasar dengannya tetapi pemergiannya amat dirasai kerana arwah seorang yang rajin membantunya di rumah.

“Dia seorang yang rajin tetapi kami sekeluarga perlu sentiasa pandai menjaga hatinya supaya dia tidak bertindak diluar jangkaan jika permintaanya tidak dituruti,” katanya.

Rahman berkata, jenazah anak keenam daripada sembilan beradik itu dikebumikan di Kampung Tepus, Bachok selepas bedah siasat selesai dijalankan malam kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asistent Superintendan Ghazali Daud mengesahkan kes tersebut dan tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Sumber: Sinarharian

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Infosahaja . All Rights Reserved.
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Template Design by Creating Website. Inspired from Metamorph RocketTheme